Wednesday, January 29, 2014

GALAKAN DAN PERLINDUNGAN PERDAGANGAN

GALAKAN DAN PERLINDUNGAN PERDAGANGAN

A. Perlindungan Perdagangan

1. Objektif

(a) Melindungi industri penting 
Melalui sekatan seperti kuota dan tarif, barangan import dapat dikurangkan. Dengan itu, industri tempatan kurang menghadapi persaingan hebat daripada barangan import di pasaran tempatan. Industri tempatan berpeluang untuk berdikari dan meningkatkan daya saing.

(b) Menggalakkan perkembangan industri baru
Perlindungan perdagangan dapat melindungi industri yang belum mencapai tahap kecekapan. Sebelum menghadapi persaingan daripada barangan import, industri baru berpeluang meningkatkan daya bersaing melalui bantuan dan kemudahan kerajaan.

(c) Mempelbagaikan ekonomi 
Perlindungan perdagangan yang menghadkan kemasukan barang perkilangan membolehkan industri perkilangan tempatan berkembang. Dengan itu, negara tidak lagi terpaksa bergantung kepada keluaran utama yang tidak stabil pendapatannya. Keadaan ini membantu memperkukuhkan kegiatan ekonomi negara.

(d) Mengatasi imbangan pembayaran negatif 
Barangan import yang kurang menyebabkan aliran wang keluar negara berkurangan. Dengan itu, imbangan pembayaran diperbaiki dan pendapatan negara meningkat.

(e)   Menjamin peluang pekerjaan
Industri tempatan yang berkembang akibat kurangnya persaingan barang import menjamin peluang pekerjaan. Keadaan ini dapat mengurangkan masalah pengangguran dan pendapatan penduduk tempatan juga dapat dipertingkatkan.


2. Kaedah: Tarif, bukan tarif, Akta Hak Cipta

(a) Tarif
Cukai yang dikenakan terhadap barang-barang yang diimport dan dieksport untuk mengawal barangan import dan eksport. Dibahagi kepada 2 iaitu cukai import dan cukai eksport.

Tarif spesifik
Sejumlah cukai tetap yang dikenakan bagi setiap unit barang yang diimport.
Contoh : RM 12 untuk setiap barang yang diimport.

Tarif A Valoren
Cukai yang dikenakan berdasarkan kepada nilai barang yang diimport.
Contoh: Cukai 100% dikenakan ke atas nilai barang import berjumlah RM 10 000.

Tarif Kompaun
Kombinasi antara tarif spesifik dan tarif ad- valoren
Contoh: Cukai sebanyak RM 0.80 bagi setiap kg barang diimport di tambah dengan 5% cukai ad- valoren atas nilai RM 10 000 barang import tersebut.

(b) Bukan tarif

Kuota
Sekatan yang menghadkan kuantiti kemasukan sesuatu barang import dalam suatu jangka masa tertentu. Tujuannya ialah untuk mengurangkan kemasukan barang import bagi melindungi industri tempatan dan cara ini tidak akan menambah pendapatan negara.

Subsidi Eksport
Bayaran yang dibuat oleh kerajaan kepada pengeksport supaya dapat mengurangkan kos pengeluaran mereka. Tujuannya ialah merendahkan harga keluaran dan meningkatkan daya saing pengeluar tempatan. Dengan itu, jumlah eksport akan meningkat akibat harga barangan tempatan yang lebih murah daripada barang import.


Kawalan Tukaran Asing
Merupakan campur tangan kerajaan dalam pasaran pertukaran asing. Tujuan ialah mengurangkan kemasukan barangan import. Sekiranya pengimport ingin mengimport barangan dari negara lain, mereka perlu membeli mata wang negara tersebut. Kerajaan boleh menghadkan penawaran mata wang negara tersebut kepada para pengimport atau menjual mata wang negara tersebut dengan harga yang lebih tinggi. Langkah ini menyebabkan harga barangan import lebih mahal dan mengurangkan kemasukan barangan import, seterusnya dapat melindungi industri tempatan.

Polisi Bekalan Kerajaan
Kerajaan mengutamakan pembelian barangan tempatan oleh agensi kerajaan. Menetapkan pembelian sejumlah minimum barangan yang mempunyai kandungan bahan tempatan untuk kegunaan agensi kerajaan.

Embargo
Merupakan sekatan perdagangan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia ke atas negara lain sama ada import atau eksport terhadap semua kategori produk tanpa mengira destinasi.
Contoh: Sekatan dagangan yang dikenakan ke atas Iraq semenjak tahun 1990 mengakibatkan rakyat Iraq menderita tanpa makanan dan perubatan yang sempurna.


Kempen Membeli Barangan Tempatan
Kaedah yang digunakan untuk memberi keutamaan kepada pengeluar tempatan. Tujuannya ialah meningkatkan daya saing industri tempatan dan meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan penggunaan bahan mentah yang diimport.

(c) Akta Hak Cipta 
Akta yang digubal untuk melindungi hasil kreativiti dan ciptaan bagi sesuatu keluaran atau melindungi hak eksklusif tuan punya hak cipta daripada dicabuli oleh pihak lain. Tujuan untuk memastikan industri berkenaan terus berkembang dan memberi sumbangan terhadap pembangunan ekonomi Negara.

B. Promosi Pelaburan

1. Akta Promosi Pelaburan 1986
Akta yang bertujuan untuk menggalakkan pelabur asing melabur di Malaysia dan menghasilkan produk yang berorientasikan eksport. Galakan yang diberi seperti taraf perintis, elaun cukai pelaburan, elaun eksport dan lain-lain.

2. Jenis-jenis galakan dan insentif pelaburan

Taraf perintis atau status perintis
Pengecualian cukai selama 5 tahun apabila syarikat memulakan operasi pengeluarannya.
Kelayakan bagi melanjutkan taraf perintis ialah:
1.      Syarikat tersebut terletak di kawasan pembangunan kerajaan
2.      Mengeluarkan barangan yang diutamakan oleh kerajaan
3.      Menggunakan bahan tempatan dalam proses pengeluarannya. Jangka masa pengecualian maksimum ialah 8 tahun.

Elaun Cukai Pelaburan (ITA)
Insentif ini diberi kepada syarikat yang tidak mendapat atau tidak layak mendapat faedah taraf perintis. Jumlah elaun diberi kepada perbelanjaan modal yang dibelanjakan dalam masa 5 tahun daripada tarikh projek diluluskan.
Tambahan elaun diberi jika:
1.      Projek syarikat terletak di kawasan pembangunan kerajaan.
2.      Mengeluarkan barangan yang diutamakan oleh kerajaan.
3.      Menggunakan bahan tempatan dalam proses pengeluarannya.

Cukai bagi Mempromosikan Eksport
Potongan ke atas perbelanjaan diberi kepada syarikat yang telah habis tempoh keistimewaan taraf perintis. Perbelanjaan yang diambil kira ialah iklan luar negeri, perbelanjaan mengadakan pameran, penyelidikan pasaran eksport dan lain-lain.

Elaun Eksport
Diberi kepada pedagang barangan pembuatan dan pertanian yang berorientasikan eksport.

Jaminan Tidak Merampas Hak Milik
Kerajaan menjamin tidak akan merampas hak milik syarikat asing. Dengan itu, syarikat asing akan menambahkan pelaburan kerana tidak perlu bimbang tentang pemiliknegaraan yang merugikan mereka.

1 comment: