Wednesday, January 29, 2014

PERSEKITARAN PERAKAUNAN PELABURAN

PERSEKITARAN PERAKAUNAN

PELABURAN – PENETAPAN PIAWAIAN PERAKAUNAN PELABURAN MENGIKUT AKTA PROSEDUR KEWANGAN 1957 (DISEMAK – 1972)


Pernyataan ini digunakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri  yang menguruskan pelaburan, di mana penyata ini setelah diaudit oleh Ketua Audit Negara perlu di bentang di Parlimen bagi Kerajaan Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri bagi Kerajaan-kerajaan Negeri.

PERNYATAAN PELABURAN

Ø  Pernyataan pelaburan adalah :-
a)         Sebagai satu garis panduan bagi menyeragamkan amalan perakaunan yang merangkumi definisi, pewujudan, klasifikasi, prosedur perakaunan dan persembahan dalam penyata kewangan.  

b)        Berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Prosedur Kewangan 1957 (Disemak – 1972) dan dilaksanakan mengikut Arahan Perbendaharaan dan aturan serta peraturan kewangan lain yang berkuat kuasa.

Ø  Mana-mana perenggan di dalam piawaian ini yang merujuk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah juga dirujuk kepada peruntukan Perlembagaan Negeri yang berkaitan mengikut mana yang berkenaan melainkan dinyatakan secara khusus.

PELABURAN

Definisi
Pelaburan adalah pembelian dan penjualan aset dan instrumen kewangan selain daripada wang tunai.  Sumber pelaburan adalah daripada Akaun Hasil Disatukan atau Kumpulan wang Amanah.

Klasifikasi Pelaburan

Ø  Pelaburan diklasifikasikan seperti berikut :-

-          Pelaburan Kumpulan wang Amanah
Pelaburan Kumpulan Wang Amanah adalah pelaburan-pelaburan yang dibuat dari Kumpulan wang Amanah selaras dengan suratcara amanah (Sek. 10, Akta Prosedur Kewangan 1957), arahan amanah.  (Sek. 9, Akta Prosedur Kewangan 1957) dan juga peraturan yang dikuat kuasakan.

-          Pelaburan Am
Pelaburan am adalah semua pelaburan yang dibuat daripada Akaun Hasil Disatukan selain daripada pelaburan Kumpulan wang Amanah.

Jenis-Jenis Pelaburan

Ø  Jenis pelaburan adalah seperti berikut :-

-          Sekuriti Kerajaan Luar Negeri
Pelaburan dalam instrumen kewangan yang dikeluarkan oleh negara luar.

-          Sekuriti Kerajaan Malaysia
Pelaburan dalam instrumen kewangan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.

-          Saham dan Syer
Pelaburan dalam saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan syer dalam syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat lain.

-          Deposit Dalam Negeri
Pelaburan ini merupakan deposit atau simpanan tetap di institusi kewangan dalam negeri.

-          Deposit Luar Negeri
Pelaburan ini merupakan deposit dalam pelbagai mata wang asing di institusi kewangan di luar negara.

-          Pelaburan Lain
Pelaburan dalam kategori ini adalah pelaburan selain yang dinyatakan di atas.


DASAR DAN KAEDAH PERAKAUNAN

Perakaunan Pelaburan
Ø  Akaun Pelaburan - Pelaburan diakaunkan pada kos sejarah atau nilai buku. Nilai nominal dan pasaran sekiranya berkaitan juga didedahkan untuk tujuan perbandingan. Hanya pelaburan yang dipertanggungkan ke Akaun Pelaburan ditunjukkan di Lembaran Imbangan.  Bagi pelaburan yang telah dipertanggungkan ke perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan atau Akaun Amanah, ia tidak diakaunkan ke Akaun Pelaburan tetapi direkodkan dan dilaporkan dalam Akaun Memorandum.

Terimaan Faedah, Dividen, Terbitan Bonus, Terbitan Hak, Terbitan Waran Dan Stok Pinjaman.
Ø  Faedah atau dividen yang diterima daripada pelaburan dalam bentuk tunai hendaklah dikreditkan ke Akaun Hasil Disatukan melainkan jika ia disyaratkan dalam mana-mana undang-undang, suratcara amanah, arahan amanah atau di mana ia perlu dikreditkan ke Kumpulan wang Amanah selaras dengan Seksyen 8(4) Akta Prosedur Kewangan, 1957 (Disemak – 1972).

Ø  Apabila terbitan bonus diterima, nilai kos sesaham hendaklah dinilai semula dengan membahagikan jumlah kos asal dengan jumlah saham selepas terbitan bonus.

Ø  Terbitan Hak
-          Jika terbitan hak yang ditawarkan diterima dan pembayaran tersebut dipertanggungkan kepada perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan atau Akaun Amanah, maka pelaburan tambahan tersebut hendaklah direkodkan dan ditunjukkan di dalam Penyata Akaun Memorandum.
-          Jika terbitan hak diterima dan dibayar daripada Akaun Hasil Disatukan, atau Kumpulan wang Amanah, maka pelaburan tambahan tersebut hendaklah dipertanggungkan ke Akaun Pelaburandan diakaunkan pada kos sejarah atau nilai buku.
-          Jika terbitan hak dijual, terimaan bersih daripada jualan tersebut hendaklah dikreditkan ke Akaun Hasil Disatukan melainkan jika ia disyaratkan dalam mana-mana undang-undang, suratcara amanah, arahan amanah atau di mana ia perlu dikreditkan ke Kumpulanwang Amanah.

Ø  Bagi terbitan waran dan stok pinjaman, tatacara perakaunan adalah sama seperti tatacara mengakaun terbitan hak seperti diterangkan di atas.

Terimaan Dari Pelaburan Yang Matang Dan Penjualan Pelaburan
Ø  Terimaan dari pelaburan yang matang dan penjualan pelaburan hendaklah diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan melainkan jika ia disyaratkan dalam mana-mana undang-undang, suratcara amanah, arahan amanah atau di mana ia perlu dikreditkan ke Kumpulan wang Amanah.

Kuasa Melabur
Ø  Pelaburan boleh dibuat dari Akaun Hasil Disatukan atau Kumpulan wang Amanah dalam bentuk deposit dengan institusi kewangan atau instrument kewangan lain selaras dengan Seksyen 8(3) Akta Prosedur Kewangan, 1957 (Disemak – 1972).

Pengendalian Akaun Akhir Tahun
Ø  Baki bersih dalam Akaun Pelaburan pada akhir tahun kewangan akan dibawa ke akaun tahun kewangan baru.

PERSEMBAHAN DALAM PENYATA KEWANGAN

Ø  Persembahan Penyata Kewangan Tahunan hendaklah mengikut kehendak Seksyen 16(1) Akta Prosedur Kewangan 1957 (Disemak-1972) dan Persembahan Penyata Kewangan Kerajaan.

Lembaran Imbangan
Ø  Pelaburan ditunjukkan sebagai satu item yang berasingan dalam Lembaran Imbangan. Angka bandingan tahun sebelumnya juga perlu dinyatakan.

Format
Ø  Format Penyata Pelaburan dan Penyata Akaun Memorandum Pelaburan adalah seperti di Persembahan Penyata Kewangan Kerajaan.

No comments:

Post a Comment