Friday, January 31, 2014


ISKANDAR MALAYSIA



Iskandar Malaysia (dahulunya Wilayah Pembangunan Iskandar; sebelumnya SJER) terletak di selatan negeri Johor Darul Ta'zim serta berkedudukan berhadapan dengan bahagian utara pulau Singapura. Ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Banyak kelebihan diberikan kepada pelabur dari Singapura agar mereka melabur sebanyak mungkin ke situ dan tidak ke China, Vietnam, Bangalore, India dan lain-lain pesaing. Sebelum ini pelaburan Singapura mencurah-curah ke China, Vietnam, Thailand dan Vietnam.

Malaysia lambat bertindak dan merasakan tiada keperluan untuk mengalirkannya ke Malaysia. Jumlah pelabur asing (FDI) ke Malaysia semakin berkurang kerana insentif yang diberikan sama atau lebih baik dari negara lain.

Rancangan Iskandar Malaysia ini mendapat tentangan keras rakyat Malaysia yang merasakan tindakan ini sebagai campur tangan dan penjajahan Singapura di selatan semenanjung Malaysia. Sikap kiasu dan keras kepala Singapura terhadap rancangan jambatan baru menggantikan Tambak Johor juga semakin menyakitkan hati rakyat Malaysia.

Bekas ahli parlimen Parit Sulong, seorang penulis serta pengendali blog Datuk Ruhanie Ahmad serta beberapa rakan beliau melahirkan kebimbangan mereka terhadap idea pelaksanaan rancangan Iskandar Malaysia ini.

Iskandar Malaysia yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam yang juga merupakan bekas ketua Datuk Ruhanie sendiri dilihat memberi ruang yang terlalu berlebih-lebihan kepada pelabur Singapura sehingga mereka boleh masuk tanpa sebarang pemeriksaan imigresen seperti kelazimannya. Beliau juga mengetengahkan persoalan bagaimana jawatan kuasa bersama Malaysia-Singapura yang memantau bentuk kerjasama di wilayah pembangunan terbabit bakal memberi kesan terhadap kedaulatan negara.

Malaysia bukanlah tapak sampah industri dari Singapura. Sebaliknya Malaysia hanya mahu pelabur yang bermutu dan terpilih sahaja dari Singapura. Rakyat Malaysia juga tidak mahu rancangan pembangunan ini akhirnya menjadi Singapura kedua. Harga rumah dan barangan yang tinggi dan mendadak di Johor Bahru adalah akibat dari mudahnya rakyat Singapura keluar masuk serta memiliki rumah dan harta di Malaysia.

No comments:

Post a Comment