Wednesday, January 29, 2014

SISTEM EKONOMI



SISTEM EKONOMI

Ekonomi negara-negara boleh dibezakan menurut beberapa dimensi seperti yang disenaraikan di dalam Jadual 1. Di sini kita akan membincangkan beberapa daripadanya.

            Sistem ekonomi yang diamalkan oleh negara-negara di dunia boleh dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu pasaran bebas, kawalan pusat dan ekonomi campuran.

Dimensi
Keterangan
Sistem
Struktur ekonomi negara sama ada pasaran bebas, kawalan pusat atau campuran.
Keluaran Negara Kasar
KNK mengukur jumlah nilai pasaran (market value) keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah negara.
Perindustrian
Setakat mana negara telah bergerak dari ekonomi berdasarkan pertanian, perikanan, perlombongan dan sebagainya ke arah perindustrian.
Kadar Pertumbuhan
Peratus pertumbuhan ekonomi dari setahun ke setahun.
Kadar Inflasi
Peratus perubahan nilai wang dari setahun ke setahun.
Polisi kerajaan
Dasar-dasar kerajaan yang boleh meningkatkan atau membantutkan ekonomi.
Imbangan bayaran
Kebolehan negara membayar kos import berbanding dengan pendapatan dari eksport.

Jadual 1

Pasaran Bebas

            Di dalam sistem ekonomi pasaran bebas, sumber-sumber (termasuk barangan akhir) adalah diagihkan berdasarkan permintaan dan penawaran. Kadar permintaan adalah semata-mata bergantung kepada kehendak pengguna. Penawaran pula adalah ditentukan secara amnya oleh pembekal-pembekal. Akibat dari interaksi di antara kedua-dua faktor ini, harga barangan akan ditentukan. Perubahan kepada harga ditentukan semata-mata oleh perubahan di dalam interaksi antara penawaran dan permintaan.

            Sudah tentu, terdapat unsur-unsur lain yang mempengaruhi proses interaksi di atas yang perlu diambil kira. Unsur tersebut termasuk polisi dan campur tangan kerajaan, kegiatan persatuan buruh, persatuan pengguna, syarikat monopoli dan persatuan syarikat-syarikat. Bagaimana mereka mempengaruhi proses tersebut adalah dibincangkan dengan terperinci di dalam buku-buku teks ekonomi. Sistem pasaran bebas diamalkan oleh banyak negara pada hari ini. Negara yang sering dijadikan contoh ialah Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah. Di Asia, negara Jepun dan Hong Kong turut mengamalkan sistem ini.





Kawalan Pusat

            Sistem ekonomi kawalan pusat semakin hari semakin tidak popular. Ianya pernah diamalkan oleh negara-negara komunis seperti Soviet Union sebelum negara itu berpecah. Di dalam sistem ini, keputusan pengagihan sumber dan penetapan harga keluaran dilakukan oleh kerajaan. Ini adalah kerana sistem ini berasaskan kepada andaian bahawa kerajaan adalah pihak yang mengetahui apakah industri-industri yang perlu untuk kebajikan masyarakat. Sistem ini jika dipraktikkan secara total, tidak membenarkan individu memiliki apa-apa aset pun. Semua aset adalah milik kerajaan.

            Kejatuhan Soviet Russia telah membuktikan bahawa sistem ini adalah berdasarkan kepada teori yang lemah. Apabila teori yang lemah tersebut cuba dipraktikkan, maka banyak masalah mula timbul yang mengakibatkan rakyat menderita. Sekarang sistem ini hanya diamalkan di negara seperti Cuba dan Korea Utara.


Ekonomi Campuran

            Sistem ekonomi campuran pula merupakan sistem yang paling banyak diamalkan di dunia. Ia merupakan satu sistem yang mempunyai elemen-elemen dari kedua-dua sistem di atas. Dalam erti kata yang lain, negara yang mengamalkan sistem ini mempunyai sistem pasaran bebas di mana individu dibenarkan memiliki aset dan permintaan dan penawaran menentukan bagaimana sumber dan keluaran diagihkan. Tetapi pada masa yang sama kerajaan juga banyak campur tangan di dalam ekonomi. Sebagai contoh, bagi keluaran tertentu kerajaan akan menentukan harga pasaran. Kerajaan juga mungkin melabur di dalam sektor tertentu walaupun sektor swasta tidak cenderung untuk melabur di dalam sektor tersebut. Jelas sekali negara Malaysia adalah contoh terbaik sebuah negara yang mengamalkan sistem ini.

            Di samping membezakan negara dari segi sistem ekonomi seperti di atas, satu aspek lain yang sering digunakan ialah tahap kemajuan ekonomi sesebuah negara. Sebagai contoh, cara yang paling biasa ialah dengan membandingkan keluaran negara kasar atau KNK negara-negara. Berdasarkan perbandingan ini, negara-negara boleh dibahagikan seperti berikut; Negara Berpendapatan Tinggi, Negara Berpendapatan Sederhana, Negara Berpendapat Rendah.

            Sehubungan dengan KNK ialah Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK yang mengukur nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah negara di dalam negara itu sendiri. Misalnya, nilai-nilai kereta Jepun yang diperbuat di AS akan dikira sebahagian daripada KNK tetapi tidak sebagai KDNK. Lazimnya, perbezaan di antara KNK dan KDNK adalah begitu sedikit dan boleh diabaikan.

            Negara-negara juga dibezakan berdasarkan kepentingan sektor perindustrian di dalam ekonomi negara tersebut. Negara di mana sektor perindustrian memainkan peranan penting dipanggil negara perindustrian dan ini termasuk negara Amerika Syarikat, kebanyakan negara Eropah Barat dan Jepun sementara Singapura, Taiwan, Korea dan Hong Kong dipanggil negara perindustrian baru (NICs).

            Seseorang pengurus firma antarabangsa juga harus peka dengan perbezaan prestasi ekonomi di antara negara di mana ukuran terpenting ialah pertumbuhan ekonomi. Dalam masa dua dekad yang lepas, negara-negara Asia Timur telah menunjukkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang sungguh mengagumkan dengan mencatat kadar pertumbuhan sekitar 5 – 8 %. Jepun, sebagai negara pertama di kalangan negara Asia Timur yang mencapai taraf negara perindustrian memang begitu dikenali dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Begitu juga Korea, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Beberapa buah negara Asia Tenggara lain juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia. Malangnya krisis matawang yang bermula pada tahun 1997 telah memberikan kesan negatif yang begitu mendadak. Tetapi pada hujung tahun 1999, tanda-tanda telah mula timbul untuk menunjukkan bahawa kesan negatif tersebut mulai reda.

            Negara-negara di Afrika (kecuali Afrika Selatan) sehingga kini langsung tidak menunjukkan prestasi ekonomi yang menggalakkan. Pelabur-pelabur asing secara amnya tidak cenderung untuk melabur di sana. Salah satu faktor yang mengakibatkan keadaan ini ialah suasana politik yang tidak stabil. Perang saudara sering berlaku ditambah dengan banyak negara di sana dipimpin oleh diktator.

            Aspek ekonomi lain yang perlu diberi perhatian oleh seorang pengurus firma antarabangsa ialah kadar inflasi di sesebuah negara. Jika kadar inflasi terlalu tinggi, firma menghadapi masalah menentukan harga kepada keluaran kerana bimbangkan kadar peningkatan kos. Di beberapa buah negara di Amerika Selatan seperti Brazil, kadar inflasi pernah mencecah 1000 peratus pada akhir tahun 80an. Ini akan mengakibatkan keluaran yang dieksport oleh Brazil menjadi mahal dan seterusnya menyebabkan kekurangan daya saing keluaran dari negara tersebut.

            Di samping itu, kadar inflasi boleh menyebabkan rakyat tidak berpuas hati kerana pendapatan mereka semakin hari semakin kurang dari segi kuasa beli. Ini boleh menyebabkan suasana politik yang tidak menentu. Di Malaysia, kadar inflasi tidak pernah mencecah tahap yang setinggi di Brazil.

            Seterusnya pengurus firma antarabangsa harus memahami polisi-polisi umum sesebuah negara dari segi ekonomi dan perdagangan. Aspek terpenting ialah sikap kerajaan negara tersebut terhadap perdagangan antarabangsa. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu India adalah sebuah negara yang tidak cenderung kepada kemasukan firma asing ke negara tersebut. Ini sangat berbeza dengan negara Singapura di mana firma dari luar negeri diberi kebebasan penuh untuk beroperasi di negara tersebut. Ramai penganalisis mengatakan bahawa ini adalah salah satu dari sebab utama kenapa keadaan ekonomi Singapura adalah jauh lebih baik berbanding dengan India.

            Satu lagi aspek ekonomi yang perlu diberi pertimbangan oleh pengurus firma antarabangsa ialah kedudukan imbangan bayaran sesebuah negara. Ini adalah kerana apabila sesebuah negara menghadapi keadaan imbangan bayaran yang sering defisit, ini bermakna negara tersebut lebih banyak mengimport dari mengeksport. Keadaan ini tidak boleh terus dibenarkan berkekalan dan harus diperbetulkan. Langkah pembetulan inilah yang sering menimbulkan masalah kepada firma antarabangsa. Ini adalah kerana langkah tersebut sering kali menyebabkan ekonomi negara akan mengalami kemelesetan demi untuk mengurangkan jumlah import. Pengurus firma antarabangsa perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan jualannya juga akan meleset.
       

No comments:

Post a Comment