Wednesday, January 29, 2014

PEMINDAHAN TEKNOLOGI UNTUK HIJAUKAN INDUSTRI

Negara Membangun Perlukan Pemindahan Teknologi Untuk hijaukan Industri
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Negara membangun memerlukan pemindahan teknologi untuk "menghijaukan" industri masing-masing, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Walaupun inovasi tempatan untuk menghijaukan industri akan diteruskan, Malaysia mahukan akses kepada teknologi yang tersedia di seluruh dunia untuk melonjakkan proses itu.
"Saya baru sahaja pulang dari Persidangan Antarabangsa mengenai Industri Hijau yang berlangsung di Manila yang mana kami membincangkan bukan setakat teknologi hijau (mesra alam) malah yang lebih penting menghijaukan teknologi.
"Industri Hijau (GI) membabitkan bukan sahaja menghijaukan industri malah mewujudkan perusahaan perniagaan dalam kitar semula, rawatan air, sisa air dan peralatan pembuatan yang berkaitan untuk GI," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kelestarian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2009, anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).
Mukhriz berkata walaupun kesedaran mengenai CSR semakin penting di seluruh dunia dan menjadi nilai teras, kadar pemakaiannya agak rendah di Malaysia.
Beliau berkata kerajaan Malaysia sentiasa mencari jalan untuk menerima pakai dan mengguna pakai dasar-dasar CSR yang baharu bagi mewujudkan kelebihan perbandingan supaya syarikat mengeksport barangan dan perkhidmatan di peringkat global.
"Kami mahu lebih banyak syarikat melaksanakan CSR secara serius kerana ia kini merupakan model perniagaan. Syarikat Malaysia belum sampai ke tahap itu," katanya.
Ditanya mengenai insentif yang disediakan kerajaan untuk memacu usaha itu, Mukhriz berkata kerajaan sedang mengenal pasti cara untuk meningkatkan inisiatif CSR oleh sektor korporat.
Beliau berkata Malaysia juga bekerjasama dengan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu seperti Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIDO) bagi menghijaukan industri.
Tahun lepas, UNIDO menyediakan geran bernilai AS$4.2 juta selama lima tahun untuk digunakan oleh syarikat bagi meningkatkan kemudahan pengeluaran masing-masing bagi mengurangkan pelepasan karbon dan gas rumah hijau.
Ditanya mengenai langkah yang diambil oleh Malaysia ke arah merealisasikan Industri Hijau, Mukhriz berkata beberapa syarikat sedang melakukan inovasi terhadap bidang seperti pengurusan sisa air dan menggunakan "Diod Pemancar Cahaya" (LED) untuk mengurangkan penggunaan elektrik.
Sebagai contoh, katanya Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) sudah mengenal pasti industri solar sebagai industri yang menjanjikan masa depan yang cerah dan menambah, komitmen itu berjaya menarik berbilion ringgit pelaburan langsung asing.
Difahamkan, tiga syarikat -- First Solar (Kulim Hi-Tech Park, Kedah), Q-Cells (Taman Sains, Selangor) dan Sunpower (Rembia Industrial Park, Melaka) -- melabur berbilion ringgit untuk membuka operasi di sini.
"Ini menunjukkan kerajaan Malaysia sudah mengenal pasti teknologi hijau sebagai bidang tumpuan dan berjaya menarik syarikat berkaitan di sini," katanya.
Ditanya mengenai Bajet 2010, Mukhriz berkata: "Kami masih menyediakannya. Kami merancang ke hadapan kerana Rancangan Malaysia Kesembilan menghampiri penghujung dan dua pakej rangsangan juga sudah hampir diagihkan sepenuhnya."
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment